Dari Meja Pengarah

Bismillahirahmanirrahim,

Assalamualaikum WBT  dan Salam Sejahtera.

Selamat datang ke laman web Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izinNya, Laman Web CQA USIM telah dapat dibangunkan dimana antara matlamatnya adalah untuk menjadi wadah informasi dan rujukan mengenai pengurusan dan pelaksanaan aktiviti jaminan kualiti kepada semua warga USIM.

CQA USIM yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Jaminan Kualiti, Dasar dan Kecemerlangan Akademik (QAPEX) telah ditubuhkan secara rasminya pada 6 Mac 2018. Sesuai dengan penstrukturan pusat tanggungjawab di USIM bermula 1 Januari 2021, QAPEX telah dijenamakan kepada CQA secara rasminya bermula 10 Februari 2021. Pusat ini dipertanggungjawabkan untuk menjadi suatu pusat sehenti untuk aktiviti jaminan kualiti dan akreditasi di USIM.

Bagi menyokong visi dan misi USIM dalam mempertingkatkan pengurusan kualiti akademik dan perkhidmatan, CQA bertanggungjawab untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan kualiti secara keseluruhan melalui pelaksanaan ISO (ISO 9001:2015/MS1900:2014 (Syariah)/ISO/IEC 27001). Selain itu juga, daripada segi kualiti akademik dan akreditasi, CQA bertanggungjawab memastikan semua program akademik di USIM memenuhi keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) termasuk pematuhan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta standard/dasar/polisi yang dikeluarkan oleh MQA dan juga Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT). CQA juga berperanan sebagai penghubung dengan pihak berkepentingan dari luar serta pemegang taruh berkaitan dalam mengendalikan agenda jaminan kualiti. Selaras dengan moto: Kualiti, Konstruktif dan Komprehensif, CQA sentiasa berusaha dan komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua warga USIM.

Akhir kata, saya berharap semua warga USIM akan mendapat manfaat daripada laman web yang dibangunkan ini malahan pihak CQA sentiasa mengalu-alukan cadangan penambahbaikan dan pandangan daripada semua pihak bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat disalurkan kepada semua.

Sekian, terima kasih.

“BERILMU, BERDISIPLIN DAN BERTAKWA” 

 

Profesor Madya Dr Azwani Sofia Ahmad Khiar

Pengarah
Pusat Jaminan Kualiti (CQA)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)