24 Mei 2023 – Usaha USIM untuk mendapatkan pensijilan ISMS sejak tahun 2018 akhirnya telah berjaya. USIM berjaya mendapatkan pensijilan tersebut bagi tempoh 3 tahun akan datang. Sebanyak 13 PTj terlibat secara langsung dalam pensijilan ini yang melibatkan skop bagi proses Penawaran Kemasukan dan Pendaftaran Pelajar baru Peringkat Ijazah Sarjana Muda di USIM.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, USIM sangat komited ke arah Pensijilan ISMS tersebut dan percaya pensijilan tersebut dapat memberikan faedah dan nilai tambah kepada USIM.
“Selain itu, pensijilan tersebut dapat memantapkan lagi perlindungan ke atas maklumat berasaskan prinsip kerahsiaan, integriti dan kebolehsediaan di USIM serta hasil dapatan audit yang ditemui akan menjadi asas untuk memperbaiki segala kelemahan dan memantapkan pengurusan keselamatan maklumat di USIM.”